02 November 2010

FAKTOR - FAKTOR PERANCANGAN DAN REKABENTUK SISTEM PENGAGIHAN BEKALAN AIR MENGGUNAKAN "ELEVATED TANK"


1.0          PENGENALAN

Air merupakan keperluan asas dalam kehidupan baik kepada manusia, haiwan mahupun tumbuhan. Oleh yang demikian, pengurusan keperluan air ini perlu dibuat bagi memastikan bekalan air mencukupi dan bebas daripada sebarang bentuk pencemaran. Bekalan air ini telah menjadi salah satu elemen didalam perancangan infrastruktur yang utama seperti bekalan elektik. Maka, penyediaannya dalam suatu perancangan pembangunan perlu mengambil kira keperluan bekalan air yang diperlukan oleh kawasan tersebut.

Dari segi penggunaan air, setiap jenis pembangunan mempunyai tahap penggunaan yang berbeza – beza. Sebagai contoh penggunaan air bagi kawasan perumahan adalah kurang daripada kawasan perniagaan dan perindustrian. Dengan yang demikian, perancangan yang terperinci adalah perlu dalam sistem pengagihan bekalan air dari sebuah tangki pengangkat (elevated tank) kepada pengguna.

2.0          SUMBER  DAN  KEPENTINGAN  BEKALAN  AIR

Di Malaysia, sumber utama bekalan air diperolehi daripada sungai, kolam atau empangan, tasik, dan air bawah tanah. Walau bagaimanapun, terdapat juga air yang diambil daripada kolam bekas lombong dan air hujan. Air ini tidak disalurkan terus kepada pengguna tetapi dirawat terlebih dahulu oleh pihak yang bertanggungjawab. Keadaan ini bagi menjamin kualiti air yang dibekalkan agar bebas daripada pencemaran sekaligus menjamin kesihatan dan keselamatan pengguna.


            Rajah 2.0 : Sumber utama bekalan air negara (dari kiri : air empangan dan air sungai)

Bakalan air diperlukan sebagai keperluan asas kehidupan iaitu sebagai air minuman. Walau bagaimanapun, kegunaan air ini semakin diperlukan untuk kegunaan harian seperti mandi, menyucikan diri, membasuh, memasak, menyiram tanaman dan sebagainya. Hal ini termasuklah untuk kegunaan keagamaan, perniagaan dan aktiviti berkaitan. Air yang telah digunakan akan disalurkan ke sistem pembentungan untuk dirawat sebelum dialirkan ke sungai.

3.0          FAKTOR  - FAKTOR PERANCANGAN  SISTEM PENGAGIHAN BEKALAN AIR

Pembangunan berskala besar seperti pembangunan sebuah bandar baru atau pembangunan lain yang melibatkan keluasan melebihi 30 ekar perlu menyediakan rezab untuk bekalan air. Bagi pembangunan berskala kecil pula, pengecualian daripada penyediaan rezab ini boleh dipertimbangkan jika bekalan air sediada boleh menampung keperluan semasa dan akan datang.

Biasanya sistem pengagihan bekalan air ini menggunakan tangki pengangkat (elevated tank) terutama di kawasan rendah seperti Manjung dan Air Tawar di Perak serta Sabak Bernam di Selangor. Terdapat enam faktor perancangan sistem pengagihan bekalan air ini. Faktor – faktor tersebut ialah :-

3.1          Permintaan air

Dalam merancang sistem pengagihan bekalan air, faktor utama yang perlu dipertimbangkan ialah permintaan air itu sendiri. Jika permintaan tinggi maka bekalan air yang perlu disediakan juga tinggi begitu juga sebaliknya. Hal ini kerana permintaan air adalah berbeza mengikut keperluan dan kegunaan. Sebagai contoh, permintaan air adalah kurang jika air yang digunakan adalah untuk kegunaan asas seperti mandi, minum, membasuh dan memasak.

Permintaan air akan meningkat jika kegunaannya bertambah seperti membasuh kenderaan, berniaga dan sebagainya. Oleh yang demikian, faktor ini boleh dianggap sebagai faktor tidak langsung dan sering berubah – ubah. Walau bagaimanapun dalam merancang sistem pengagihan bekalan air ini, faktor ini telah diambil kira lebih awal dengan mengambilkira faktor – faktor lain sebagai asas. Walau bagaimanapun, terdapat faktor – faktor langsung yang mempengaruhi permintaan air iaitu :-

a)    Keadaan iklim

Iklim di Malaysia yang panas dan lembab mempunyai permintaan bekalan air yang tinggi berbanding negara beriklim sejuk seperti Rusia. Bagi negeri di Malaysia pula permintaan air tidak mempunyai banyak perbezaan.

b)    Taraf sosio ekonomi

Taraf sosio ekonomi penduduk yang meningkat menambahkan lagi permintaan bekalan air baik untuk kegunaan diri mahupun perkara- perkara lain.

c)    Jenis industri dan perdagangan yang dijalankan

Terdapat perbezaan kegunaan air bagi setiap industri. Industri berat memerlukan lebih banyak bekalan air untuk beroperasi berbanding industri ringan.

d)    Kualiti air

Air yang kian tercemar kini menyebabkan orang ramai memerlukan air yang terawat. Hal ini kerana kualiti air yang terawatt adalah lebih bersih dan diyakini berbanding air lain. Oleh itu pengagihan bekalan air akan bertambah seiring dengan permintaan.

e)    Kos air dan polisi pemasangan meter

Kos air terawat yang lebih murah dan mudah diperolehi menyebabkan permintaan terhadapnya kian bertambah. Hal ini ditambah pula dengan pengurusan yang cekap dan tarif bagi pembayaran bil yang rendah.

f)     Penggunaan tandas pam dan sistem pembetungan

Di rumah pada masa kini telah menyediakan  sistem bekalan air dan sanitari yang siap dipasang dan boleh digunakan di keseluruhan ruang rumah. Maka, permintaan terhadap bekalan air memang diperlukan bagi memastikan sistem ini dapat digunakan dengan sempurna

3.2          Ramalan pertumbuhan penduduk

Ramalan pertumbuhan penduduk dapat diketahui melalui pengiraan unjuran penduduk bagi tahun berikut dengan menjadikan tahun semasa sebagai asas. Pertumbuhan penduduk perlu diambilkira bagi memastikan perancangan yang dibuat sesuai dengan keperluan semasa dan akan datang. Hal ini bagi menjamin bekalan yang berterusan dan mencukup untuk kegunaan penduduk. Sebagai contoh. Seri Iskandar, Perak pada 10 tahun yang lalu merupakan kawasan yang kurang penduduk, namun begitu sejak dibangunkan dengan pembangunan institusi dan perumahan , penduduknya kian bertambah. Pertambahan ini adalah berkadar langsung dengan pertambahan permintan bekalan air.

Oleh yang demikian, ramalan pertumbuhan penduduk mengikut sesuatu kawasan itu perlu bagi menganggar bekalan air yang diperlukan untuk menampung pertumbuhan penduduk pada masa akan datang. Kaedah yang sering digunakan dalam membuat unjuran ini ialah menggunakan kaedah arithmetik dan kaedah geometrik.

3.3          Permintaan domestik

Kegunaan domestik adalah antara 40-60 % daripada keseluruhan bekalan air. Contoh kegunaan domestik termasuklah untuk minum, memasak, mandi, mencuci, sanitari serta lain-lain lagi. Tujuan domestik bergantung kepada faktor-faktor iklim, status sosial, kualiti  dan kuantiti air, kos air, tekanan air, sistem sanitari dan jenis bekalan air.

Lokasi dan keadaan sesuatu kawasan adalah penyumbang kepada faktor permintaan domestik ini, Hal ini dibuktikan melalui permintaan bekalan air di kawasan bandar adalah lebih tinggi berbanding di kawasan semi-bandar seterusnya di kawasan luar bandar. Gaya hidup dan kepadatan penduduk mempengaruhi permintaan domestik bekalan air di kawasan bandar yang adakalanya menyebabkan berlakunya bekalan air terputus dan catuan air.

Di negara mundur dan maju, nilai purata kegunaan air untuk tujuan domestik ialah di antara 100 – 350 l/orang/hari. Di Malaysia pula, nilainya ialah 225 l/ orang/hari. Terdapat tiga kategori penggunaan air di negara kita meningikut Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Malaysia (KeTTHA) iaitu :-

a)    Pengguna bandar

Kawasan ini mempunyai penduduk melebihi 10 000 orang penduduk seperti Ipoh, Seremban, Melaka Tengah, Alor Setar dan sebagainya. Keperluan air yang diperlukan ialah antara 230 hingga 320 liter padu seorang per hari.

b)    Pengguna semi-bandar

Kawasan ini meliputi penduduk antara 2 000 hingga 10 000 orang penduduk seperti Batu Gajah, Parit, Gemencheh dan sebagainya. Keperluan air yang diperlukan ialah antara 180 hingga 230 liter padu seorang per hari.

c)    Pengguna luar bandar

Merangkumi kawasan pedalaman yang penduduknya kurang daripada 2 000 orang seperti Lenggong, Gerik dan sebagainya. Keperluan air yang diperlukan ialah antara 135 hingga 180 liter padu seorang per hari.

Bekalan air yang tidak mencukupi seperti di Selangor menyebabkan bekalan tersebut terpaksa dipam dari dalam tanah. Berbeza dengan kawasan pedalaman seperti di Lenggong yang mana masih ada masyarakatnya yang menggunakan air sungai untuk kegunaan harian. Dengan ini, permintaan domestik ini dipengaruhi oleh lokasi dan keadaan sesuatu kawasan.

Anggaran asas bekalan air bagi kegunaan domestik

            DD = P x  F  x  C

            DD  = permintaan domestik
            P  = penduduk yang dibekalkan
            F  = peratus penduduk yang dibekalkan
            C  = kegunaan air per kapita

Keperluan air per kapita ialah penggunaan air oleh seorang penduduk sehari. Nilai dibawah digunakan untuk menganggarkan permintaan air. Kawasan bandar (230 hingga 320 liter sehari), kawasan sub bandar/pinggir bandar (180 hingga 230 liter sehari) dan kawasan kampung (135 hingga 180 liter sehari).

3.4          Permintaan perniagaan dan institusi

Dalam merancang sesuatu pembangunan, aspek guna tanah perlu diambil perhatian kerana mempengaruhi aktiviti yang akan dilaksanakan. Aktiviti ini bakal mempengaruhi keperluan bekalan air yang perlu disediakan sekaligus melibatkan penyediaan infrastruktur tersebut. Aktiviti seperti perindustrian memerlukan bekalan air yang lebih banyak berbanding aktiviti perniagaan.

Pembekalan air kepada kawasan perniagaan dan perdagangan seperti kedai dan pejabat. Contoh kegunaan air untuk tujuan komersial adalah termasuk perniagaan yang melibatkan kedai dobi, restoren dan pusat perkhidmatan cuci kenderaan. Taksiran unjuran permintaan air untuk kegunaan perdagangan dibuat adalah berdasarkan bilangan pekerja, penghuni dan keluasan ruang.

Anggaran kegunaan air bagi penggunaan komersial

      CD = A x CR

      CD = permintaan komersial
      A  = luas kawasan perdagangan
      C= kadar penggunaan

Berbeza daripada industri lain dan juga antara pengeluar-pengeluar sesuatu barangan. Perbezaan ini bergantung kepada jenis industri, saiz organisasi, kualiti, kuantiti dan kos air serta proses edaran semulajadi air.

Jadual 3.4 : Perbezaan keperluaan air untuk kegunaan industri :
Produk
Jisim air/ Jisim Produk
Kapas/ bulu
Keluli/kayu/pulpa/kertas
Penyembelihandan pembungkusan
Pengeluaran petroleum
Pengeluaran tenusu
150 – 750
10 – 300
15 – 25
3 – 10
3 - 35

Anggaran penggunaan air bagi pengguna industri iaitu :

      ID = AI x IR

      ID  =  permintaan industri
      AI  =  luas industri
                        IR  = kadar penggunaan

Dalam keadaan ini, infrastruktur  tersebut perlu disediakan sendiri mengikut pembangunan yang dibangunkan agar keperluan bekalan mencukupi. Sebagai contoh di Seri Iskandar, Perak terdapat beberapa pembangunan utama iaitu melibatkan Pengkalan Radar TLDM, UiTM, UTP, Taman Farmasi, SIDEC, Bandar Universiti dan setiap satu pembangunan ini memiliki tangki pengangkat (elevated tank) sendiri.
             

      Rajah 3.4 : Pengagihan bekalan air daripada “sercive reservoir” ke “elevated
                                     tank” di Bandar Baru Seri Iskandar, Perak.

3.5          Keperluan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah meletakkan syarat kepada setiap pembangunan perlu menyediakan pili bomba bagi memudahkan jabatan tersebut mendapatkan bekalan air pada waktu kecemasan iaitu kebakaran. Bekalan air yang mencukupi serta tekanan yang tinggi adalah syarat bagi setiap pili bomba yang disediakan.

Oleh yang demikian, bekalan air ini juga tidak hanya mengambil kira keperluan semasa sahaja tetapi pada masa kecemasan. Maka syarat yang telah ditetapkan tersebut perlulah dipatuhi oleh pemaju.

3.6          Permintaan tertinggi (bermusim)

Keadaan ini berlaku pada musim perayaan, cuti persekolahan dan cuti am yang mana masyarakat akan mengadakan kenduri kendara dan majlis keramaian. Pada waktu itu, bekalan air yang diperlukan akan melebihi daripada kebiasaan. Walau bagaimanapun keadaan ini akan pulih selepas musim tersebut tamat.

Namun begitu, faktor ini mesti diambil kira dalam memastikan perancangan sistem pengagihan bekalan air berada pada tahap yang mencukupi dan tidak mengganggu aktiviti masyarakat.

4.0          FAKTOR  - FAKTOR REKABENTUK  SISTEM PENGAGIHAN BEKALAN AIR MENGGUNAKAN TANGKI PENGANGKAT (ELEVATED TANK)

Sistem pengagihan bekalan air menggunakan tangki pengangkat (elevated tank) perlu disediakan dengan menyediakan rezab untuk infrastruktur tersebut. Penyediaannya mengambil kira faktor – faktor rekabentuk tertentu sesuai dengan keadaan dan keperluan yang perlu ditampung. Faktor – faktor rekabentuk untuk perletakkan infrastruktur ini adalah seperti berikut :-

4.1          Saiz rezab

Saiz rezab adalah mengikut garis panduan JPBD atau pihak berkuasa tempatan. Kesesuaian saiz ini mengikut isipadu air yang dibekalkan dan keperluan lain seperti rumah pam. Dalam hal ini keluasan rezab yang perlu disediakan terpulang kepada pemaju tetapi perlu mencukupi daripada sudut isipadu bekalan air yang disimpan di dalam tangki pengangkat.

Dalam perkara ini syarikat yang bertanggungjawab terhadap bekalan air sesebuah negeri itu akan menilai dan memberi kelulusan kepada tangki pengangkat yang bakal dibina.

4.2          Ketinggian tangki pengangkat

Tangki pengangkat perlu diletakkan di tempat yang tertinggi daripada pembangunan sekitarnya. Hal ini bagi meningkatkan tekanan air yang diagihkan kepada pengguna. Kebiasaannya tangki pengangkat akan diletakkan di puncak bukit dan bagi kawasan yang rata pula akan dibina menara dan tangki tersebut berada diatas menara tersebut pada ketinggian minimum 30 meter dari permukaan tanah.

Semakin tinggi kedudukan tangki air semakin tinggi tekanan air yang dapat diiagihkan. Dengan tekanan tersebut air yang dibekalkan kepada pengguna lebih lancar dan tidak terputus.


Rajah 4.2 : Tangki pengangkat yang dibina setinggi 30m bagi memberi tekanan  
                  air yang lebih tinggi kepada pengguna

4.3          Kaedah penyaluran

Terdapat tiga kaedah penyaluran bekalan air dari tangki pengangkat kepada pengguna. Kaedah ini digunakan mengikut kedudukan tangki pengangkat dan kedudukan pengguna. Kaedah tersebut adalah seperti berikut :

a)    Kaedah sistem graviti

Kaedah ini digunapakai di kebanyakkan tempat di Malaysia. Kaedah ini boleh dilaksanakan jika punca air berada lebih tinggi daripada lokasi pengguna yang bakal diagihkan bekalan air.

Kaedah ini mempunyai kebaikan dan kelemahan yang tersendiri. Dari sudut kebaikan, sisitem graviti ini merupakan sistem paling berkesan dalam mengagihkan bekalan air disamping kos operasi yang rendah. Dari sudut kelemahan pula, sistem graviti ini memerlukan tekanan air yang wujud secara sendiri. Hal ini bergantung kepada ketinggian punca air dengan pengguna.


                        Rajah 3.3(a) : Kaedah penyaluran menggunakan sistem graviti

b)    Kaedah sistem pam

Kaedah ini digunakan jika punca air berada lebih rendah daripada pengguna.
Dengan erti kata lain, tidak wujud tekanan air sekaligus tidak dapat diagihkan secara terus kepada pengguna. Oleh yang demikian, tekanan akan dicipta menerusi alat pengepam bagi mengagihkan bekalan air tersebut.

Kaedah ini mempunyai kebaikan dari segi kawalan aliran, lokasi dan air yang mengalir lebih lancar. Dari segi kawalan aliran, pam boleh dilaras mengikut kesesuaian aliran air yang diinginkan. Maka tidak berlaku tekanan air terlalu tinggi mahupun sebaliknya. Lokasi pula menyebabkan kawasan tinggi tidak terkecuali menerima bekalan air walaupun pada kedudukan tinggi air agak sukar disalurkan.

Walau bagaimanapun terdapat juga kelemahan menggunakan kaedah ini, hal ini merujuk kepada masalah dalam operasi dan penjagaan pam yang perlu dipantau 24 jam sehari bagi menjamin ia berfungsi. Jika berlaku sesuatu masalah, bekalan air tidak dapat dipam dan diagihkan sekaligus pengguna akan terputus bekalan air. Keadaan ini tidak lagi merujuk kepada kos operasi yang tinggi apabila menggunakan sistem pam berbanding sistem graviti. Kos elektrik atau bahan api yang menggerakkan sistem pam ini perlu sentiasa ada dan mencukupi. Bagi sistem pam yang menggunakan elektrik, masalah akan berlaku jika bekalan elektrik terputus. Dengan erti kata lain tiada elektrik tiada air.


                        Rajah 3.3(b) : Kaedah penyaluran menggunakan sistem pam

c)    Kaedah gabungan sistem graviti dan pam

Kaeadh ini mengabungkan kedua – dua sistem yang ada iaitu graviti dan pam dalam mengagihkan bekalan air kepada pengguna. Sistem ini banyak digunakan di Malaysia disebabkan kesesuaiannya dengan pelbagai keadaan topografi. Walaupun begitu, masalah dalam operasi dan penjagaan pam disamping kos yang bertambah menjadi halangan menggunakan kaedah ini.


                        Rajah 3.3(c) : Kaedah penyaluran menggunakan sistem graviti dan pam

4.4          Jarak pengguna dan tampungan

Bagi menyediakan rezab tangki pengangkat ini, jarak tangki itu sendiri perlu diambilkira bagi memastikan ia dapat berfungsi mengikut kawasan tampungannya. Apa yang lebih penting ialah telah ditetapkan piawaian daripada Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) bagi jarak tangki air ini mengikut 1.5 kali ganda daripada ketinggian tangki pengagihan.


                       Rajah 4.4 : Jarak tangki pengangkat dari pengguna

4.5          Kemudahsampaian

Kemudahsampaian ini merujuk kepada akses masuk ke kawasan rezab tangki pengangkat ini. Hal ini bagi memudahkan kerja-kerja penyelenggaraan dan pemantauan dibuat oleh pihak yang bertanggungjawab iaitu syarikat bekalan air negeri. Ketiadaan akses masuk ini akan menyulitkan pihak terbabit menjalankan tugas mereka.

5.0          KESIMPULAN

Daripada keseluruhan perbincangan, dapat kita ketahui mengenai sumber air yang kita gunakan seharian dan kepentingannya dalam kehidupan kita. Bakalan air yang berterusan perlu bagi menjamin kelangsungan kehidupan kita. Disini juga kita ketahui bagaimana bekalan air yang kita perolehi seharian diagihkan melalui tangki pengangkat (elevated tank) kepada pengguna.

Selain itu, faktor – faktor perancangan sistem pengagihan bekalan air yang menggunakan tangki pengangkat ini kepada pengguna dapat difahami disamping faktor – faktor yang mempengaruhi rekabentuknya. Maka sebagai sebagai seorang perancang bandar perlulah melihat secara lebih terperinci dalam merancang kemudahan infrastruktur ini.

No comments: