03 November 2010

PEMINGGIRAN LUAR BANDAR

1.0     Pendahuluan

Penggunaan perspektif peminggiran dalam kajian kemiskinan  masih belu dilakukan secara khusus di negara ini sungguhpun perspektif ini semakin mendapat perhatian pengkaji kemiskinan di negara-negara lain pada masa kini. Misalnya dalam satu himpunan kertas kerja yang di keluarkan oleh International Institute for Labour Studies (ILO), Geneva pada bulan Mei 1955, penyingkiran (exclusion), iaitu perspektf yang ditonjolkan dalam kajian ini sebagai peminggiran. Antara penulis kertas kerja tersebut adalah  :

            i.        Arjan de Haan,1995 :11 ( Institute for Labor Studies Philippines).
Beliau mendedahkan kaitan persoalan genus dan peminggiran wanita dalam sektor ekonomi. Arjan de Haan menghuraikan tentang dua bentuk mekanisme utama yang menyebabkan berlakunya peminggiran iaitu pasaran buruh dan Penghijraan. Peminggiran inilah yang menyebabkan keadaan hidup mereka semakin daif dari semasa ke semasa.

           ii.        Pulin Nayak, 1995 :53. ( Institute for Labor Studies Philippines).
Beliau menyatakan bahawa terdapat berbagai-bagai bentuk peminggiran yang dialami oleh golongan miskin. Ini termasuklah pendidikan, perumahan, pemilikan harta, penyertaan harta, penyertaan demokrasi, kemudahan asas, perkhidmatan kesihatan dan sebagainya. Kesan akhir proses peminggiran ini membawa kepada wujudnya fenomena kemiskinan dalam masyarakat. Golongan miskin diketepikan atau terpinggir daripada sesuatu aspek atau bidang yang biasanya diperolehi atau dinikmati oleh anggota masyarakat.

          iii.        A.Halim Ali , 1990 ( Malaysia)
Beliau telah mengupas isu yang hampir sama dengan perspektif peminggiran dalam konteks kemiskinan di negara ini. A.Halim Ali membuat kajian ke atas kaum bumiputera di Sandakan . Kajian tersebut membentangkan sejarah pegalaman ketersingkiran kaum bumiputera miskin di Sandakan dalam arus perbandaran yang begitu pesat di bandar tersebut.  Golongan bumiputera miskin ini dikatakannya sebagai pinggiran di pusat kerana meskipun mereka berada dalam pusat politik dan ekonomi bandar, disebabkan berlakunya peminggiran daripada proses urbanisasi, mereka terus berada dalam kemiskinan.

Oleh itu, perlu perlu difahami lebih lanjut tentang konsep peminggiran ini dan bangaimana ia berkaitan dengan kemiskinan secara amnya dan kemiskinan Melayu luar bandar khususnya.

Peminggiran luar bandar boleh ditakrifkan sebagai sesuatu kemudahan ataupun kesenangan yang diperolehi oleh masyarakat lain, tetapi tidak diperolehi oleh masyarakat luar bandar di sesuatu kawasan. Sebagai contoh, masyarakat di bandar menerima kemudahan pembelajaran yang sempurna seperti komputer dan sebagainya, Manakala penduduk kawasan luar bandar sebaliknya. Hal ini dapat dilihat dari pelbagai aspek dan boleh dinilai oleh mata kasar. Menurut Jabatan Perancang Bandar dan Desa mentakrifkan kawasan luar bandar sebagai

‘Kawasan selain daripada kawasan bandar. Ia merupakan petempatan yang meliputi semua jenis kampung dan penempatan kecil yang kurang daripada 10,000 orang penduduk dan bercirikan kawasan pertanian serta kawasan sumber alam semulajadi’.

Faktor-faktor yang ditekankan dalam mendefinasikan kawasan desa adalah berikut :

      I.        Saiz bilangan penduduk yang minima dan maksima;
    II.        Kepadatan penduduk;
   III.        Tahap urbanisasi;
  IV.       Tahap kemudahan masyarakat dan kualiti hidup (contoh: jalanraya yang berturap, bekalan eletrik, bekalan air dan lain-lain).

Ciri-ciri kawasan luar bandar adalah meliputi semua jenis kampung atau penempatan kecil yang kurang dari 10,000 orang yang tinggal secara berkelompok, sejajar dan bertaburan seperti kampung tradisi, kampung FELDA, kampong FELCRA, kampung Orang Asli, petempatan ladang, kampung baru dan pusat-pusat petempatan atau bandar-bandar baru dalam kawasan Lembaga Kemajuan Wilayah.

Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak kerajaan untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk di kawasan luar bandar dari segi pembangunan prasarana asas, utility dan amenity sosial, pembangunan ekonomi, pembangunan manusia atau masyarakat dan institusi desa dan pembangunan ICT.

Antara agensi yang bertanggungjawab dalam memajukan kawasan luar bandar adalah KEJORA (Lembaga Kemajuan Johor Tenggara), KESEDAR (Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan), KETENGAH (Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah), DARA (Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara), KEDA ( Lembaga Kemajuan Kedah) dan sebagainya.

2.0          Konsep Peminggiran

Kebayakkan kupasan tentang konsep kemiskinan menekankan fenomena kekurangan sama ada kekurangan pendapatan ataupun berada di kelas bawahan dalam masyarakat. Namun menurut beberapa golongan menekankan aspek yang lain antaranya seperti :

            i.        Alcock ( 1993 : 85 )
Selain daripada kekurangan pendapatan dan kelas, asatu lagi aspek kekurangan yang lebih terkini dan meluas adalah penyingkiran yang disebut dalam kajian ini sebagai peminggiran.

           ii.        Kamus Dewan ( 1970 : 1113)
Penyingkiran adalah ‘perihal menyingkiri ( menyingkirkan)’.

          iii.        Kamus Inggeris Melayu Dewan, (1992 : 487)
Mereka yang tersingkir adalah individu atau golongan yang ditolak atau dihalang daripada mendapat atau menikmati sesuatu kemudahan atau menyertai sesuatu aktiviti.

Ini bermakna bahawa golongan miskin atau termiskin adalah mereka yang ditolak atau terasing daripada masyarakat sama luar bandar atau bandar dari segi geografi, ekonomi, sosial, politik dan lain-lainnya.  Apa yang ditumpukan adalah golongan miskin atau termiskin yang juga sebahagian daripada masyarakat,tetapi dipinggirkan atau diketepikan dan kurang diberi perhatian , bantuan serta tidak menikmati pembangunan sewajarnya. Mereka hanya berada di luar atau pinggiran dalam sistem ekonomi, sosial dan politik. Dalam ertikata lain, meskipun berada dalam lingkungan kawasan sistem ekonomi bandar, namun mereka hanya mendapat keuntungan yang sedikit daripada sistem tersebut. Ini menunjukkan bahawa golongan ini tidaklah tertolak atau terasing sepenuhnya, sebaliknya mereka sekadar berada di pinggiran daripada keseluruhan proses pembangunan di bandar. Perminggiran inilah menyebabkan mereka terus berada alam keadaan kekurangan dan kemiskinan.

Di negara luar, perspekif ini dikenali sebagai penyingkiran sosial (social exclusion). Golongan miskin merupakan kelompok yang tersinggkir dalam kebanyakkan aspek kehidupan terutamanya di luar bandar. Misalnya golongan gipsi di Eropah atau golongan kasta parinya di India. Golongan ini benar-benar terasing dan disingkirkan  daripada masyarakat lain. Kebanyakkan ahli sains sosial, pembuat dasar dan masyarakat umum mengaggap golongan miskin sebagai sektor yang marginal dalam masyarakat Golongan ini selalunya tersingkir atau diketepikan daripada arus pembangunan, Misalnya penganggur, penagih dadah, pemabuk, pelacur dan golongan gipsi.

              i.        Perlman, 1976:91
Kehidupan daif, serba kekurangan, tidak mempunyai rumah, banyak hutang dan sering dikaitkan dengan berbagai-bagai gejala negatif. Oleh itu, marginal dari kacamata barat ditafsirkan sebagai ‘shiftless, dangerous neer-do-well, usually associated with the underworld of crime, violence, drugs and prostitution’. Ini bermakna bahawa peminggiran ( marginalization) an penyingkiran ( exclusion) dalam masyarakat barat bagi golongan miskin adalah fenomena yang saling berkait rapat antara satu sama lain.

Di Malaysia konsep pemingiran ini tidak hanya memperkatakan tentang aspek perumahan, pekerjaan atau kesihatan golongan miskin semata-mata. Skop peminggiran ini lebih luas dalam konteks masyrakat moden termasuklah aspek moboliti dalam masyarakat, soal ‘leisure’, komunikasi, perkhidmatan kewangan dan penyertaan dalam organisasi politik. Dalam hal ini, peminggiran adalah merujuk kepada situasi atau ketidakmampuan seseorang untuk turut serta menikmati beberapa aspek kehidupan moden yang telah diakui oleh masyarakat sebagai norma atau kehidupan yang mencukupi. Ketidakmampuan tersebut merupakan keadaan kekurangan yang menyebabkan mereka terpinggir atau diketepi daripada memperoleh keperluan asas dan hanya mendapat kemudahan sosial yang lain pada kadar yang paling minimum. Oleh itu, kekurangan dan peminggiran mempunyai kaitan rapat dengan kemiskinan.

3.0          Bukti Peminggiran Kawasan Luar Bandar

Kawasan luar Bandar selalu terpinggir dari pelbagai aspek untuk menyaingi kawasan bandar yang jauh lebih maju. Kawasan luar bandar secara amnya tertinggal dari segi ekonomi, kemudahan fizikal yang menyokong kemajuan sesuatu kawasan serta tertinggal dari segi aspek sosiologi.

  i.        Peminggiran Kawasan Luar Bandar Dari Aspek Ekonomi

Kawasan luar bandar memang tidak dinafikan ketinggalan jauh dari segi ekonomi berbanding dengan kawasan bandar yang jauh lebih maju ekonominya. Ekonomi yang maju mampu memangkin pembangunan kemajuan sesebuah kawasan. Antara aktiviti yang menjana ekonomi di sesuatu kawasan ialah aktiviti perniagaan, perindustrian, ekonomi, pelancongan dan selainnya yang mampu menjana kepada pendapatan sesebuah kawasan. Jika dilihat, kawasan luar bandar tidak mempunyai elemen sebegini dalam menjana ekonomi di kawasan luar bandar. Jika ada sekalipun, ianya dalam kuantiti yang sedikit dan tidak begitu berfungsi dengan jayanya. Penduduk di kawasan luar bandar kebiasaanya menjalankan aktiviti ekonomi tradisional seperti bercucuk tanam, menanam padi, menternak haiwan dan bekerja kampung sebagai sumber ekonomi utama mereka. Pekerjaan yang dilakukan mereka kebanyakkan tidak dikomersialkan, sebaliknya untuk kegunaan sendiri. Taraf kehidupan di kawasan luar bandar juga rendah berbanding di kawasan bandar. Sebagai contoh, Garis Kemiskinan di kawasan luar bandar adalah sekitar RM 500-RM 750, manakala di kawasan bandar adalah sekitar RM 1000-RM 1500. Mana-mana penduduk di setiap kawasan yang berpendapatan di bawah jumlah yang dinyatakan adalah diisytihar miskin. Walaubagaimanapun, kawasan luar bandar berpotensi untuk dibangunkan secara komersial, sekaligus mampu menjana ekonomi di kawasan tersebut. Umum mengetahui, kawasan luar bandar kurang dimajikan dengan pembangunan. Oleh yang demikian, terdapat banyak tanah yang tidak diusahakan dan berlakunya pembaziran tanah. Pembinaan kilang-kilang untuk tujuan memproses mampu menjana ekonomi di kawasan tersebut. Dengan terbinanya kilang tersebut, maka peluang pekerjaan akan wujud untuk penduduk sekitar. Penduduk tidak perlu lagi bergantung dengan sumber pendapatan berasaskan aktiviti ekonomi tradisional yang tidak menentu. Selain daripada itu, kawasan luar bandar memang kaya dengan alam semulajadi dan adat istiadat berbanding dengan kawasan bandar.

Kedua elemen ini merupakan sumberjaya pelancongan yang mampu menarik minat pelancong untuk menerokainya. Antara contoh contoh sumberjaya pelancongan yang popular di kawasan luar bandar ialah pelancongan berasaskan alam semulajadi (Eco-Tourism), Agro Pelancongan dan Pelancongan Inap Desa (Homestay). Dengan wujudnya aktiviti pelancongan di kawasan luar bandar, maka peluang pekerjaan dapat diwujudkan. Pembinaan kawasan penginapan dan kemudahan sokongan untuk kegunaan pelancong dapat diguna bersama penduduk tempatan. Apa yang penting, dengan adanya aktiviti sebegini, maka ekonomi di kawasan luar bandar dapat ditingkatkan.

ii.        Peminggiran Kawasan Luar Bandar Dari Aspek Fizikal

Kawasan luar bandar sering dikaitkan dengan kekurangan dengan fasiliti dan kemudahan awam. Sebagai contoh, jika dahulu, kawasan luar bandar sinonim dengan jalan tanah merah, penggunaan lampu minyak tanah atau lilin untuk menerangi rumah pada waktu malam dan juga penggunaan air sungai dalam urusan seharian. Namun, situasi ini hanya dapat dilihat di kawasan yang betul di dalam pedalaman. Kebanyakan kawasan luar bandar di negara kita sudah mempunyai kemudahan asas seperti jaringan jalanraya, bekalan eletrik dan juga bekalan air. Walaubagaimanapun, kawasan luar bandar masih tertinggal dari segi penyediaan kemudahan awam seperti kemudahan pembelajaran, kemudahan beribadat, kemudahan rekresasi, kemudahan kesihatan dan sebagainya. Penyediaan kemudahan awam adalah pelengkap bagi keselesaan penduduk di sesuatu kawasan, meskipun ianya bukanlah satu kemestian seperti penyediaan kemudahan asas. Penduduk di kawasan bandar hidup dengan selesa dengan penyediaan kemudahan yang serba moden berbanding penduduk di kawasan luar bandar. Sebagai contoh, kemudahan pembelajaran yang disediakan di kawasan bandar jauh lebih canggih dan dibekalkan dengan alatan yang serba canggih. Sebaliknya yang berlaku di kawasan luar bandar yang hanya dibekalkan dengan alatan asas yang jauh  ketinggalan zaman. Antara contoh lain yang dapat dilihat ialah dari segi penyediaan kemudahan kesihatan. Penduduk di kawasan bandar dimudahkan dengan penyediaan kemudahan kesihatan yang lengkap oleh pihak kerajaan. Ditambah pula dengan penyediaan klinik swasta oleh pihak-pihak tertentu. Sebaliknya berlaku di kawasan luar bandar. Mereka terpaksa bergerak ke kawasan bandar bagi mendapatkan kemudahan kesihatan. Justeru tidak hairanlah jika taraf kesihatan bagi penduduk di kawasan luar bandar adalah sangat rendah. Contoh seterusnya adalah dari segi sistem pembentungan dan saliran. Sistem pembentungan dan saliran di kawasan bandar adalah tersusun dan teratur manakala sebaliknya berlaku di kawasan luar bandar. Kedua-dua sistem ini dilakukan secara tradisional di kawasan luar bandar. Sebagai contoh, sistem saliran di kawasan luar bandar menggunakan laluan air seperti parit dan sungai untuk mengalirkan air yang telah digunakan, berbanding kawasan bandar yang menggunakan sistem yang lebih tersusun seperti penggunaan longkang perumahan dan juga longkang monsun sebelum ianya disalirkan ke laut.

iii.        Peminggiran Kawasan Luar Bandar Dari Aspek Sosiologi

Dari segi aspek sosiologi pula ianya melibatkan kependudukan bagi kawasan luar bandar. Masyarakat luar bandar hanya bergaul dengan orang sekitar berbanding masyarakat bandar. Hal ini mungkin disebabkan skill komunikasi mereka yang tidak berapa bagus. Selain itu juga, masyarakat luar bandar tidak dibekalkan dengan skill dan pengetahuan tambahan bagi menghadapi cabaran hidup yang semakin moden pada masa kini. Sebagai contoh, jika mereka menghadiri sesi temuduga untuk pengambilan kerja, majikan akan memilih pekerja yang serba boleh dan mempunyai nilai tambah. Dan kebiasaannya, calon yang berasal dari bandar menjadi pilihan para majikan kerana mereka dilengkapi dengan ilmu tambahan selain mampu berkomunikasi dengan baik. Selain itu juga, kawasan luar bandar sinonim dengan penghuni yang telah berusia dan juga golongan kanak-kanak. Hal ini disebabkan golongan pertengahan pergi ke bandar untuk mencari pekerjaan. Tidak dinafikan, peluang pekerjaan di bandar adalah banyak dan yang utama ialah gaji yang ditawarkan adalah tinggi. Mereka tidak mahu lagi bekerja di kampung halaman sebagai petani ataupun penternak kerana pendapatan yang tidak menentu disamping memerlukan tenaga yang banyak. Bekerja di bandar adalah jalan keluar dari kemiskinan yang membelenggu mereka sejak sekian lama. Penduduk di kawasan luar bandar juga terpinggir daripada penerimaan isu-isu semasa yang membabitkan Negara mahupun mengenai dunia antarabangsa. Kebanyakkan kita mendapat tahu mengenai isu-isu semasa melalui media cetak dan juga media eletronik, sebaliknya tidak bagi masyarakat luar bandar.Penggunaan media cetak dan eletronik adalah terhad penggunaannya bagi mendapatkan maklumat terkini tentang isu-isu semasa. Antara pengajaran yang dapat diperolehi dari segi kependudukan masyarakat kawasan luar bandar ialah mereka hidup dalam suasana masyarakat dan saling tolong menolong antara satu sama lain. Berbanding masyarakat bandar yang dikatakan sombong, mementingkan diri sendiri dan tidak gemar mengambil kira perihal jiran terdekat.

4.0          Faktor Peminggiran Masyarakat Luar Bandar

Perspektif pemiggiran di Malaysia masih kurang diberi perhatian oleh kerajaan dan para sarjana. Walaubagaimanpun aspek ini telah disentuh oleh Za’aba sejak tahun 1923 lagi. Dalam rencananya telah menulis mengenai peminggiran yang berlaku di kalangan orang Melayu.
                                   
Orang-orang kita Melayu pada perhitungan am atau jumlahnya adalah suatu kaum yang tersangat miskin. Kemiskinan adalah sifatnya yang terlebih sangat lengkap dan nyata daripada sifat-sifat kebangsaanya dan adalah juga sebesar-besar kekurangan yang menjadikan mereka kalah dan ketinggalan di belakang dalam perlumbaan kemajuan. Miskin pada wang ringgit dan harta benda, miskin pada hemat dan  cita-cita, miskin pada pelajaran dan latihan pengetahuan, miskin pada alat-alat kelengkapan otak dan pada beberapa sifat-sifat keperangaian yang tinggi dan mulia jadilah mereka tak dapat tiada tersangkut dan ketinggalan dalam 
perjalanan bangsa-bangsa.
 ( Ungku Aziz, 1975; 4 ).

Faktor atau punca perlu dikaji sebagai salah satu langkah untuk melahirkan strategi bagi langkah seterusnya. Ini kerana faktor merupakan penyebab kepada berlaku sesuatu masalah. Fenomena masyarakat luar bandar yang terpinggir berlaku seiring dengan pertumbuhan dan pembangunan ekonomi yang relatifnya tinggi. Kepinggiran dan kemunduran masyarakat telah menyebabkan wujudnya jurang yang ketara antara masyarakat luar bandar dengan masyarakat bandar. Secara umumnya, masyarakat luar bandar dilihat dari semua aspek adalah mundur daripada  masyarakat di bandar yang lebih banyak menikmati kemajuan- kemajuan daripada kerajaan.

Antara faktor-faktor peminggiran masyarakat luar bandar adalah Disability yang diletakkan sebagai punca perminggiran yang membawa kepada kemiskinan ( Dalley, 1991 ; Martin and White, 1988 ; Glendinning and Baldwin, 1988 ; Walker, 1982) dan dianggap sebagai masalah sosial. Peminggiran dan pengabaian berlaku ke atas kelompok disability dalam pelbagai bentuk. Misalnya dalam aspek pekerjaan, ahli kelompok ini tidak mempunyai kelulusan akademik yang formal dan menghadapi kesulitan memasuki pasaran buruh. Keadaan ini menjejaskan pencapaian dan taraf hidup mereka.  Kelompok ini mengalami disability kekal termasuk dalam status rendah, mendapat pekerjaan yang bergaji kecil dan sering tersingkir atau tidak diambilkira dalam pasaran buruh. Kegagalan dalam sistem pendidikan menyebabkan mereka terus terpinggir dan menyebabkan kelompok disability menjadi penganggur dan pendapatan rendah iaitu sememangnya diketahui umum sebagai punca kemiskinan. Menurut Townsend (1979) mengatakan bahawa berbanding kumpulan miskin yang lain, kelompok disability tinggal dalam rumah dengan keadaan lebih daif kurang memperolehi barangan pengguna dan kurang mempunyai masa cuti. Taraf kesihatan mereka juga sering tidak menentu. Keadaan ini menghalang mereka daripada menyertai berbagai-bagai kegiatan sosial dalam masyarakat dan menikmati kehidupan yang lebih sempurna.

Selain itu, faktor yang menyumbang kepada peminggiran ialah disebabkan penentuan kawasan sasaran yang tidak selaras dan tidak jelas. Ini kerana apabila hendak memberi bantuan dan maklumat yang diberikan tidak jelas. Contohnya  tiada gambar yang disediakan untuk menggambarkan keadaan sebenar kumpulan sasaran yang terlibat. Gambar- gambar memainkan peranan penting selain mendapatkan maklumat berkaitan butiran peribadi masyarakat luar bandar. Ini kerana gambar memudahkan pihak yang bertanggungjawab menyalurkan bantuan untuk menilai samada golongan tersebut layak untuk berada dalam senarai golongan masyarakat yang terpinggir dan dijadikan sebagai bukti dan boleh menggambarkan realiti sebenar yang dihadapi oleh masyarakat yang terpinggir.

Foto 4.0: Kehidupan masyarakat yang terpinggir

Selain itu, maklumat yang diperolehi oleh pihak yang bertanggungjawab juga tidak lengkap. Contohnya hanya terdapat butiran nama dan umur sahaja tetapi alamat dan maklumat lain tidak diperoleh dengan secukupnya. Ini termasuklah butiran pengenalan diri dan perihal yang melayakkan individu untuk mendapatkan bantuan dan menyebabkan kebarangkalian individu menyalurkan bantuan kepada kumpulan yang bukan sepatutnya dan sukar untuk membuat kesimpulan tentang jenis bantuan yang akan dikeluarkan. Pihak yang  bertanggungjawab haruslah bijak dalam menyusun bantuan mengikut beberapa kategori supaya matlamat utama dapat dijayakan dengan jayanya. Antara kategori yang terlibat ialah aktif iaitu bagi individu yang dibantu atau agresif serta boleh menerima setiap perubahan dengan baik. Selain itu, bagi kategori kekal pula memerlukan penelitian pada setiap tahap kerana mereka memerlukan panduan dan bantuan. Bagi kategori pasif pula ialah bagi golongan yang memerlukan sokongan moral dan dan sahsiah.

Antara faktor lain ialah maklumat yang diperoleh oleh pihak bertanggungjawab juga berbeza-beza dan tidak menyeluruh.Ini menyukarkan untuk mengenalpasti masyarakat yang terpinggir kerana maklumat yang berbeza menimbulkan kekeliruan serta mengambil masa yang lama. Ini kerana pihak yang bertanggungjawab ini menyuruh golongan yang tidak mempunyai pengetahuan yang menyeluruh mengenai maklumat yang diperlukan. Contohnya memilih anggota RELA untuk mendapatkan makulumat mengenai penduduk yang terpinggir. Anggota RELA tidak memperoleh maklumat sebenar untuk mencapai kehendak dan sasaran yang diperlukan di mana pengetahuan mereka hanya terhad kepada kawasan yang menjadi tugasan dan jagaan mereka sahaja.

Selain itu, ini menunjukkan maklumat miskin ini dilakukan berdasarkan bancian. Bancian sangat penting untuk mengenalpasti jumlah isi rumah serta pendapatan yang diperoleh oleh ketua rumah. Lebih memburukkan lagi bantuan bukan sampai kepada yang sepatutnya. Sikap pilih kasih boleh timbul kerana individu hanya memilih kaum sebulu yang terdiri daripada saudara yang terdekat dan membuatkan golongan yang terpinggir terus terpinggir tanpa menerima sebarang bantuan yang menjadikan mereka semakin miskin. Secara lebih khusus lagi, mereka yang mengkaji kemiskinan di luar bandar menganggap bahawa wujudnya kemiskinan di luar bandar adalah kerana terabainya sektor pertanian sejak dari pemerintahan penjajah lagi. Polisi ekonomi penjajah dikatakan telah meruntuhkan hidup kampung di desa, kehilangan semangat bekerjasama dan berdikari dan kemasukan kepentingan kewangan dalam perdagangan ke dalam desa. Akibatnya, tanah bertukar hakmilik kepada mereka yang mampu, wujud kapitalisme tanah dan pembahagian tanah secara tidak adil, serta eksploitasi.

Oleh sebab itu, timbul masalah hutang, pembahagian tanah, bertani di tanah yang disewakan dari orang lain yang menyebabkan rendahnya pengeluaran, pendapatan, pendidikan dan taraf kesihatan. Selain itu, eksploitasi dan monopoli orang tengah, kelaparan tanah, tanah yang tidak ekonomik juga dikatakan antara penyebab kepada kemiskinan di desa dan peminggiran masyarakat di luar bandar.

Peminggiran masyarakat luar bandar boleh menyebabkan kemiskinan di bandar pula dikatakan berlaku kerana orang-orang miskin kurang terdedah kepada sumber-sumber dan kemudahan-kemudahan asas seperti pendidikan dan perumahan, pendapatan rendah dan terpaksa berdepan dengan aliran kenaikan harga barangan, dan kurang terdedah dengan pengetahuan dan maklumat tentang bantuan kerajaan (Aliran 1980:10-12; Mohd Taib Dora 2000). Orang-orang miskin bandar, terutamanya penghijrah dari luarbandar, dikatakan tidak mengetahui tentang maklumat dan pengetahuan tentang bentuk bantuan yang disediakan agensi-agensi pemerintah. Mereka dipinggir dari memperoleh maklumat seperti media massa dan sebagainya. Selain itu, mereka juga terpinggir dari pelbagai bentuk bantuan dan pembangunan termasuk dari segi sosial serta ekonomi bandar, terutamanya dalam dunia pekerjaan. Keadaan ini membuatkan berlakunya `peminggiran sosial' yang dipercayai menjadi sebab utama kepada wujudnya kemiskinan di luar bandar. Sekiranya isu peminggiran ini dapat diatasi, maka kemiskinan Melayu termiskin bandar dipercayai sekaligus dapat diatasi (Mohd Taib Dora 2000).

Aspek dan tahap pendidikan yang rendah menyumbang kepada kepelbagaian kegiatan ekonomi  dan pasaran buruh di luar bandar. Aktiviti ini selalunya dijalankan oleh masyarakat luar bandar yang berpendidikan rendah kerana mereka tiada kelayakan untuk memiliki pekerjaan yang menghasilkan pendapatan yang lumayan. Selain itu, kaedah pembelajaran yang tidak berkesan dan guru-guru yang tidak berkemahiran merupakan sebab-sebab utama pelajar di luar bandar tidak mampu menguasai Bahasa Inggeris dengan baik. Ini menyebabkan pelajar di luar bandar semakin jauh ketinggalan. Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Suhaimi Ibrahim berkata kajian yang dibuat oleh pertubuhan itu dua tahun lalu membuktikan bahawa pelajar dan ibu bapa Melayu sebenarnya sedar akan kepentingan Bahasa Inggeris, tetapi tidak mampu menguasainya disebabkan oleh kekangan tersebut. Masalah ini menyumbang kepada mereka terpinggir daripada menerima upah yang tinggi. Oleh itu, kadar pengangguran meningkat terutamanya bagi golongan remaja yang terdapat di luar bandar dan memberi kesan kepada pembangunan sosial di dalam sesebuah tempat. Kegagalan pembangunan sosial ini boleh memberi kesan kepada sektor ekonomi semakin mundur.

Faktor lain yang menyumbang ke arah peminggiran masyarakat luar bandar ialah kekurangan kemudahan. Kemudahan ini membolehkan mereka untuk menjalankan aktiviti kemasyarakatan. Namun, iaya terbatas kerana lokasi penempatan yang terpinggir dan pedalaman.

5.0       Strategi Peminggiran Masyarakat Luar Bandar

Dengan bukti – bukti dan faktor – faktor wujudnya kesinambungan peminggiran luar bandar ini, pelbagai strategi dikenalpasti dalam mengatasinya seiring bagi mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. Dalam menjayakan strategi – strategi ini, semua pihak baik agensi kerajaan, swasta dan masyarakat itu sendiri perlu memainkan peranan masing – masing. Strategi – strategi bagi mengatasi peminggiran luar bandar adalah seperti berikut :

 i.        Mengenalpasti Golongan Sasaran

Dalam menjayakan pembangunan luar bandar, golongan sasaran perlu dikenalpasti agar pembangunan tersebut dapat memberi impak kepada mereka. Oleh yang demikian, pembangunan perlulah meliputi setiap lapisan masyarakat tanpa mengira peringkat umur dan fahaman politik. Sebagai contoh, dibawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah melaksanakan program pembinaan kompleks sukan seperti gelanggang futsal di luar bandar bagi melahirkan belia yang sihat dan bebas jenayah. Bagi golongan pasif, penekanan diberikan kepada mereka dengan menerap rasa tanggungjawab dalam membangunkan kawasan mereka. Perkara ini boleh diterap melalui ceramah – ceramah kesedaran. Dengan ini, pembangunan yang dilaksanakan dapat dirasai oleh setiap golongan sasar.

Dalam keadaan ini, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) perlulah memainkan peranan mereka sebagai orang tengah antara kerajaan dan masyarakat. Hal ini termasukkan mengatur program – program pembangunan kampung dan masyarakatnya. Mereka juga lebih mengetahui kehendak masyarakat sekaligus boleh memberi pandangan dan cadangan kepada kerajaan dalam mengatasi permasalahan di kampung mereka.

 ii.        Menekankan Kepada Pembangunan Modal Insan

Pembangunan modal insan ini dipandang serius oleh bekas perdana menteri, Tun Abdullah bin Hj. Ahmad Badawi. Bagi beliau, sesebuah negara yang maju perlulah mempunyai modal insan yang berkualiti bagi memastikan masa depan negara terus berdaya saing. Perkara ini tidak hanya tertumpu kepada masyarakat bandar sahaja, bahkan pembangunan modal insan ini ditumpukan kepada masyarakat luar bandar. Antara langkah kerajaan dalam menjayakan misi ini ialah dengan memberi pendidikan dan kemahiran yang bersesuaian kepada masyarakat luar bandar mengikut sumber dan cirri – cirri masyarakat tersebut. Oleh itu, dapat kita lihat pada hari ini kempen “satu desa satu industri” yang telah membawa kemahiran masyarakat luar bandar kepada dunia perniagaan.

Selain itu, kemahiran – kemahiran lain seperti memasak, bertukang dan sebagainya turut diajar kepada mereka. Semua pernan itu bukan sahaja dilainkan oleh agensi kerajaan seperti MARA tetapi juga sektor swasta seperti kolej – kolej. Dengan ini, masyarakat luar bandar dapat bersaing dengan pasaran semasa sekaligus mengeluarkan mereka daripada belenggu peminggiran.

Langkah lain yang boleh digunakan bagi pembangunan modal insan ini ialah pendidikan formal untuk kanak – kanak bermula dari usia lima tahun. Dengan pendidikan ini, minda kanak – kanak dapat dibentuk secara lebih baik dan melatih mereka mengenai sesuatu sebelum melangkah dialam persekolahan. Bagi menarik minat masyarakat terhadap langkah ini, kerajaan telah menambah prasarana ICT di selolah – sekolah dan taska. Perkara ini ditambah pula dengan kelas tambahan kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan awam.


iii.        Mengubah Perspektif Masyarakat Mengenai Pemberian Bantuan

Masyarakat hari ini boleh dikatakan “anak emas” kerana sentiasa mendapat perhatian kerajaan untuk mendapat bantuan. Namun begitu, tiada kesedaran bagi mereka untuk memajukan diri ditambah pula dengan sikap sentiasa mengharapkan bantuan. Oleh yang demikian, perspektif masyarakat perlu diubah agar mereka tidak hanya bergantung kepada bantuan semata – mata. Antara langkah yang boleh diambil ialah bantuan yang berasaskan modal. Sebagai contoh Pusat Zakat Selangor memberi bantuan secara aset iaitu lori kecil dan modal perniagaan, maka penerima perlulah menggunakan segala kemudahan tersebut untuk dikembangkan menjadi pendapatan melalui berniaga. Seperti hari ini dapat dilihat ramai penerima bantuan daripada Pusat Zakat Selangor berjaya dalam perniagaan mereka. Secara tidak langsung bantuan yang diberi dapat diberikan kepada masyarakat yang lebih memerlukan dan penerima bantuan dapat keluar daripada kemiskinan.

iv.        Mengambil Kira Golongan Termiskin Dalam Pembangunan Negara

Peruntukan kerajaan setiap tahun perlulah meliputi pembangunan luar bandar dan masyarakatnya. Dengan ini, usaha – usaha pembangunan sentiasa berterusan seiring dengan kawasan bandar. Pemberian subsidi khas baik dari sudut keperluan asas mahupun sampingan bagi mengurangkan beban golongan miskin dalam menjalankan aktiviti harian mereka. Langkah – langkah ini boleh dilaksanakan melalui perberian “Beras Nasional” iaitu beras bersubsidi kerajaan bagi golongan miskin, baja dan racun perosak kepada golongan petani dan bahan api diesel kepada nelayan.

Tempat tinggal yang selesa turut merupakan langkah kerajaan bagi memastikan golongan miskin dapat hidup lebih selesa. Hal ini dapat dilihat melalui Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bagi golongan yang mempunyai rumah yang usang. Selain itu terdapat juga projek – projek perumahan lain yang mempunyai mempunyai matlamat yang sama yang disediakan oleh pihak kerajaan.

v.        Meningkatkan Ekonomi Dan Peluang Pekerjaan

Bagi mencapai strategi ini, pelbagai langkah boleh diambil seperti penggunaan teknologi bagi mempelbagaikan produk pengeluaran dan bantuan pemasaran serta nasihat oleh pihak – pihak tertentu. Perkara ini jelas ditunjukkan melalui program yang diperkenalkan oleh MARDI dengan penggunaan jentera dalam pertanian dan sebagainya. Agensi pemasaran seperti FAMA menjadi pemakin dalam memasarkan produk luar bandar ke peringkat lebih baik. Selain itu, Dapat kita lihat bagaimana agensi ini membuka pasar tani di seluruh negeri khas bagi golongan miskin berniaga dan memasarkan produk mereka.

Langkah – langkah ini tidak hanya tertumpu kepada pihak luar semata – mata, tetapi oleh masyarakat luar bandar itu sendiri. Oleh yang demikian, langkah memperkukuhkan ekonomi masyarakat melalui penubuhan koperasi dan persatuan dilihat mampu manjadi landasan kepada kemajuan luar bandar baik dari sudut pembangunan fizikal mahupun ekonomi. Melalui persatuan ini pelbagai program dapat dibuat dan disokong pula dengan kewangan daripada pihak koperasi.

vi.        Melahirkan Sikap Dan Keterbukaan Minda

Strategi ini merupakan kunci bagi mengatasi peminggiran luar bandar. Hal ini kerana sikap dan minda masyarakat perlu dibentuk agar lebih menerima pembangunan dan tidak hanya menjadi boneka semata – mata. Apabila sikap dan minda mereka mengarah kepada sesuatu yang positif dan terbuka, sudah pasti  mereka sendiri mempunyai keinginan untuk lebih kehadapan. Pendedahan masyarakat mengenai peranan mereka dan perkembangan semasa melalui ceramah dan expo – expo boleh meningkatkan tahap kesedaran mereka. Selain itu, langkah jangka panjang seperti pembangunan sistem jalur lebar mampu mengurangkan jurang antara masyarakat bandar dan luar bandar.Langkah ini dapat dilihat melalui perlaksanaan perpustakaan desa yang bukan sahaja bergantung kepada bacaan buku semata – mata bahkan kemudahan komputer dan internet juga. Dari masa kemasa, perkembangan jalur lebar ini kian terasa melalui program jalur lebar yang dikendalikan oleh pihak swasta.

Di dalam usaha mengatasi kemiskinan luar bandar ini, Malaysia menekankan kepada beberapa aspek pertamanya, peningkatan daya pengeluaran aktiviti-aktiviti nelayan dan petani agar hasil pengeluaran mereka bertamba. Kedua, pengurangan pengangguran di kalangan kaum belia di luarbandar dengan meningkatkan peluang pekerjaan, misalnya dengan mengadakan rancangan-rancangan tanah yang baru atau rancangan pemulihan tanah terbiar. Ketiga, memajukan sektor pertanian dengan pendekatan bersepadu agar ekonomi desa dapat memasuki sektor perindustrian khususnya perindustrian desa dan keempat, meninggikan mutu hidup penduduk luarbandar dengan memberi kemudahan-kemudahan asas seperti bekalan, air, elektrik, perkhidmatan kesihatan dan pelajaran (musa hitam 1983/1984:7-8).

Usaha-usaha begini menjadi lebih jitu apabila Dasar Ekonomi Baru dilancarkan. Ada tiga strategi pembasmian kemiskinan yang diperkenalkan di dalam Dasar Ekonomi Baru ini. Pertama, menambahkan pendapatan melalui penggunaan teknologi moden agar meningkat produktiviti kumpulan sasaran. Ini dilakukan melalui peranan aktif agensi-agensi kerajaan, mengemaskini perkhidmatan dan memperluaskan liputan infrastruktur asas di kawasan luar bandar. Kedua, menambahkan peluang-peluang pekerjaan dengan menukar lapangan kegiatan. Ia melibatkan langkah memajukan tanah yang baharu seperti rancangan FELDA, perusahaan, perkhidmatan, peluang-pelaung dalam bidang pelajaran dan pertanian moden. Ketiga, memperbanyakkan peluang-peluang pekerjaan itu sendiri melalui pengawalan dan pertambahan bilangan penduduk dan perubahan dalam susunan ekonomi dengan memperluaskan bidang periindustrian, khususnya dengan menggalakkan penglibatan pelaburan asing.

Trend yang sama juga menjadi kepercayaan organisasi-organisasi masyarakat, institusi-institusi akademik dan kebanyakan individu di Malaysia. Pergerakan Pemuda UMNO misalnya, setelah mendapati strategi Dasar Ekonomi Baru menghadapi jalan buntu apabila berlakunya kegawatan ekonomi dalam pertengahan lapan-puluhan, mencadangkan agar kemiskinan diatasi melalui kaedah-kaedah berikut: Pertama, pemantapan peranan dan pelaksanaan badan-badan institusi kerajaan agar dapat menyelaras pelaksanaan dasar, mengawal penyelewengan dan rasuah, pembaziran, tindih menindih projek dan penyelewengan subsidi dan konflik kepentingan. Kedua, penyusunan semula dan pembangunan rancangan tanah ala Felda, dengan mengkaji semula dasar, penyusunan semula program dan projek agar produktiviti bertambah dan memberi peluang baru kepada rakyat. Ketiga, mengatasi pengangguran dan meningkatkan peluang pekerjaan. Keempat, memajukan perindustrian negara terutamanya industri berasaskan pertanian (agro-based) dan pembuatan dan industri berat. Kelima, memaju dan membangunkan kawasan bandar untuk mengatasi masalah setinggan dan menghalang mereka dari bertambah dan merebak. Keenam, meneruskan strategi Dasar Ekonomi Baru dalam penyusunan semula masyarakat untuk membasmi kemiskinan. Ketujuh, meneruskan dasar luar yang berkecuali agar perhubungan antarabangsa dapat dijalin dengan baik (Biro Kemiskinan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia 1987).

Selain itu, institusi akademik, misalnya Institut Pertanian Malaysia pula mengesyorkan beberapa kaedah mengatasi kemiskinan seperti berikut:

          i.       Reformasi Tanah Dan Pengagihan Harta
        ii.       Peningkatan Penyelarasan Penyaluran Faktor Pengeluaran (Seperti Pengeluaran Teknologi, Perkhidmatan Pengembangan, Kemudahan Kredit, Pengurusan Dan Pemasaran)
        iii.        Insentif Kewangan Dan Pencukaian
       iv.        Pengubahan Sikap Kepimpinan Di Semua Peringkat, Dari Kepimpinan Politik, Pegawai Kerajaan, Dan Pemimpin Tempatan
        v.        Peluang Pendidikan Dengan Menilai Semula Sistem Penempatan Anak-Anak Miskin Yang Berpotensi Ke Sekolah-Sekolah Yang Mempunyai Kemudahan Lengkap
       vi.        Pembentukan Model Baru Pembangunan Yang Lengkap Dan Menyeluruh (Holistic Model) Di Mana Perancangan Memerlukan Pertimbangan Faktor Seperti Mobilisasi Modal, Tenaga Buruh Dan Mengubah Kuasa Pemilikan Sebahagian Besar Sumber Pengeluaran
      vii.        Sistem Pertanian Bercorak Perniagaan
     viii.        Pembinaan Bandar-Bandar Baru
       ix.        Penubuhan Pusat Pengajian Kemiskinan untuk menyelaras segala usaha mengkaji masalah kemiskinan dan membentuk pendekatan-pendekatan pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan oleh institusi-institusi yang ada (Institut Pertanian Malaysia 1983/1984:136-137)

Secara individu pula ada yang berpendapat bahawa pembasmian kemiskinan memerlukan pembentukan dan penginstitusionalisasian satu mekanisme sosio-ekonomi yang bergerak sendiri (self-generating) supaya kemiskinan dapat ditangani bila ia timbul dari semasa ke semasa. Dalam hal ini, ada enam komponen yang dicadangkan (Mohd Nor Ghani 1977:224225): 

      i.        Mengenalpasti kumpulan sasaran utama berdasarkan kepada taraf hidup minima atau tahap pendapatan yang dirasakan sesuai untuk negara;
     ii.        Ukuran jurang yang wujud antara taraf minima dan pendapatan semasa dan taraf hidup yang didapati oleh kumpulan sasaran utama;
    iii.        Penilaian tentang keperluan asas kumpulan sasaran dalam bentuk makanan, pakaian dan tempat tinggal dan pembentukan langkah-langkah anti-kemiskinan yang berkesan;
   iv.        Mengenalpasti perubahan asas dalam bentuk faktor-faktor alam sekitar dan institusi yang diperlukan untuk menggalak (motivate) orang miskin dan mewujudkan komitmen dan partisipasi penuh dari mereka di dalam program-program yang dilancarkan;
    v.        Mengadakan sumber-sumber, kemudahan dan perkhidmatan  yang diperlukan untuk merangsang golongan miskin ke dalam kerja aktif dan produktif dengan hubungan dan jalan yang betul untuk berinteraksi dengan masyarakat yang lebih besar; dan
   vi.        Membentuk instrumen-instrumen dasar yang diperlukan untuk membawa perubahan yang sepatutnya di peringkat ekonomi, sosio-budaya, psikologi dan pentadbiran.

Sebenarnya, di tengah-tengah tumpuan kepada hal-ehwal material dan non-material luaran manusia ini, ada juga pihak-pihak tertentu yang mula sedar bahawa tindakan-tindakan meninggikan pengeluaran, memperbanyakkan peluang-peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan orang miskin sebenarnya tidak cukup untuk mengatasi masalah kemiskinan. Ini semua, kata mereka, hanya membawa kesan lahiriah sahaja. Bagi mereka, tindakan lebih tepat ialah dengan menggunakan satu pendekatan yang menitikberatkan manusia (human oriented approach), yang merangkumi nilai-nilai keadilan, kesamarataan dan kepimpinan yang baik dan jujur untuk melahirkan sebuah masyarakat yang beretika dan progresif, dan menguatkuasakan perubahan struktur dalam ekonomi (Aliran 1980:15). Walaubagaimana pun, penghuraian mendalam tentang hal ini tidak dilakukan dan kaedah 
bagaimana ini semua boleh dicapai tidak dikemukakan secara jelas dan sistematik, malah hampir tidak ada langsung.

Secara umum, bolehlah dikatakan bahawa usaha mengatasi kemiskinan secara lazim setakat ini telah dilaksanakan melalui tiga tahap pendekatan. Pendekatan pertama dipanggil sebagai pendekatan sektoral, pendekatan kedua sebagai pendekatan berorientasikan kumpulan dan pendekatan ketiga sebagai pendekatan individu (Syed Othman Al-Habshi 1996).

Pendekatan sektoral umumnya dipakai oleh kebanyakan negara sedang membangun dalam tahun 50-an dan 60-an. Sektor-sektor yang mundur dikenalpasti dan disalurkan pelbagai program pembangunan terutamanya dalam bentuk pembinaan prasarana seperti jalanraya, jambatan, empangan, sekolah, rumah sakit dan klinik, pusat masyarakat, pembangunan pertanian dan tanah, reformasi tanah dan sebagainya. Hal ini dilakukan berdasarkan kepada dua rasional: pertama, pembayar cukai mengagihkan semula pendapatan mereka melalui dana awam yang kemudian menyalurkannya terus kepada rakyat miskin, dan kedua, teori kesan merebak ke bawah (trickle-down effects) diharap dapat akhirnya dimanfaatkan oleh orang-orang miskin. Melalui pendekatan ini, keadaan umum sektor luarbandar telah diubah dengan cepat di samping bertambah baiknya assesibiliti kepada komunikasi, keadaan kehidupan dan kemudahan awam terutamanya pendidikan dan kesihatan. Tetapi ia juga mempunyai kelemahan. Orang-orang miskin tidak benar-benar dapat menikmati faedah pembangunan dalam masa singkat kerana kesan merebak ke bawah tidak berlaku. Yang jelasnya, mereka yang mendapat manfaat ialah sektor itu sendiri dan mereka yang terlibat dalam proses pembangunan yang sebenar. Orang-orang miskin hanya mendapat manfaat dalam jangka masa yang sangat panjang (Syed Othman Alhabshi 1996).

Pendekatan berorientasikan kumpulan pula merupakan satu pendekatan yang mengenalpasti dan mendokumenkan secara jelas kumpulan orang-orang miskin dan profil mereka dari segi pendapatan isi rumah, saiz isirumah, pekerjaan, dan tahap pendidikan. Mereka dibahagikan mengikut wilayah, lokasi dan disusun mengikut tahap pendapatan purata. Pelbagai projek yang sesuai untuk setiap golongan dirancang dan dilaksanakan untuk kebaikan mereka. Pendekatan ini mampu menyediakan keperluan orang-orang miskin mengikut kumpulan ekonomi masing-masing dan oleh itu sesuai untuk menyelesaikan masalah berkumpulan. Namun begitu, penyelesaian secara berkumpulan tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan individu isirumah. Kumpulan miskin ini biasanya tidaklah sama (homogenous) dari segi tahap pendapatan dan sifat-sifat lain. Program yang dituju kepada kumpulan miskin boleh jadi sesuai dengan sesetengah dari mereka tetapi tidak sesuai untuk sesetengah yang lain (Syed Othman Alhabshi 1996).

Pendekatan individu pula mengecilkan unit ekonomi kepada isirumah. Pendekatan ini mengenalpasti setiap isirumah miskin di setiap lokasi. Apabila profil mereka dikumpul dan dianalisa, terutamanya dari segi pendapatan, pendidikan, pekerjaan, kemahiran, keperluan dan sebagainya, projek-projek khusus yang secara langsung boleh memenuhi keperluan isirumah berkenaan dilaksanakan. Pendekatan ini mempunyai dua kebaikan yang jelas: pertama, orang-orang miskin mendapat manfaat secara langsung, dan kedua, ia boleh bermula dengan isirumah yang paling memerlukan pertolongan. Pada tanggapan sesetengah penulis, kebaikan kedua ini adalah suci dan berbentuk apolitical kerana dalam kebanyakan kes, adalah lebih menguntungkan sama ada dari segi ekonomi atau politik, untuk membantu mereka yang mempunyai pendapatan yang lebih hampir dengan garis kemiskinan. Perbelanjaan yang diperlukan untuk menolong mereka ini jauh lebih sedikit dari yang diperlukan untuk membantu kesemua mereka yang miskin. Tetapi seperti juga pendekatan-pendekatan lain, pendekatan individu ini juga tidak terlepas dari kelemahan. Antara kelemahannya terdapat dalam menentukan siapakah yang patut mendapat faedah itu dalam amalan sebenarnya. Kritik paling utama terhadap pendekatan ini ialah sama ada bantuan yang disalurkan berorientasikan kebajikan atau pembangunan. Kalau ianya untuk penggunaan, ianya masih berorientasikan kebajikan. Sebaliknya ia menjadi penyelesaian jangkapanjang kemiskinan yang lebih baik kiranya ia bersifat pembangunan (Syed Othman Alhabshi 1996).

6.0       Rumusan / Kesimpulan

Perspektif peminggiran diketengahkan dalam sesebuah kajian kerana memberikan sumbangan baru terhadap satu lagi aliran pemikiran kemiskinan di negara ini. Sehubungan itu, perspektif ini diharap akan turut memberikan satu implikasi dasar yang baru lebih rasional kepada pelaksanaan dasar pembasmian kemiskinan serta pembangunan Negara. Hal ini turut disarankan oleh Gaudier (1993) dalam tulisannya yang bertajuk Poverty, Inequality,Exclusion: New Approaches To Theory And Practise. Beliau menyarankan isu kemiskinan masa kini perlu pendekatan yang lebih rasional. Ini bermakna perspektif peminggiran ini hendaklah ditekankan dan dijadikan salah satu keutamaan dalam dasar pembasmian kemiskinan negara yang semakin rancak dilaksanakan pada masa kini.

Satu daripada aspek peminggiran yang utama adalah dari aspek sistem ekonomi moden (industrialisasi dan ekonomi pasaran). Peminggiran ini merupakan gejala yang meninggalkan kesan negative yang amat ketara dari segi ketidaksamaan dan kemiskinan dalam sesebuah masyarakat. Kebanyakan mereka terpinggir daripada sistem ekonomi pasaran dan pasaran kerajaan yang lebih menguntungkan.

Bukti peminggiran perlu dikaji supaya memudahkan kajian dijalankan kawasan luar bandar selalu terpinggir dari pelbagai aspek untuk menyaingi kawasan bandar yang jauh lebih maju. Ini menyebabkan kawasan luar bandar secara amnya tertinggal dari segi ekonomi, kemudahan fizikal yang menyokong kemajuan sesuatu kawasan serta tertinggal dari segi aspek sosiologi. Bukti peminggiran ini dikaji melalui beberapa aspek ekonomi, fizikal, dan sosiologi. Bagi aspek ekonomi taraf kehidupan di kawasan luar bandar juga rendah berbanding di kawasan bandar. Sebagai contoh, Garis Kemiskinan di kawasan luar bandar adalah sekitar RM 500-RM 750, Manakala di kawasan bandar adalah sekitar RM 1000-RM 1500. Mana-mana penduduk di setiap kawasan yang berpendapatan di bawah jumlah yang dinyatakan adalah diisytiharkan miskin. Bagi aspek fizikal pula sebagai contoh, kemudahan pembelajaran yang disediakan di kawasan bandar jauh lebih canggih dan dibekalkan dengan alatan yang serba canggih. Sebaliknya yang berlaku di kawasan luar bandar yang hanya dibekalkan dengan alatan asas yang jauh  ketinggalan zaman dan  penyediaan kemudahan kesihatan. Dari aspek sosial pula memberi contoh cara komunikasi mereka yang tidak berapa bagus. Selain itu juga, masyarakat luar bandar tidak dibekalkan dengan skill dan pengetahuan tambahan bagi menghadapi cabaran hidup yang semakin moden pada masa kini. Sebagai contoh, jika mereka menghadiri sesi temuduga untuk pengambilan kerja, majikan akan memilih pekerja yang serba boleh dan mempunyai nilai tambah.

Dalam soal bantuan, jelas dilihat dasar kerajaan yang menggunakan saluran birokrasi untuk menyalurkan bantuan kepada kumpulan sasaran. Bantuan ini yerpaksa disalurkan terlebih dahulu melalui pelbagai peringkat yang mana menyebabkan masa yang lama diambil sebelum membuat keputusan untuk menyalourkan bantuan kepada kumpulan sasaran tersebut. Keadaan ini menjejaskan usaha membasmi kemiskinan dan penyaluran bantuan yang dikesan. Bagi sektor swasta seperti Amanah Ikhtiar Malaysia tidak memerlukan saluran dan pelbagai prosedur yang sukar.

Oleh itu, beberapa strategi dirangka berdasarkan bukti – bukti serta faktor – faktor wujudnya kesinambungan peminggiran luar bandar ini. Strategi atau langkah ini amat penting supaya seiring bagi mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. Dalam menjayakan strategi – strategi ini, semua pihak baik agensi kerajaan, swasta dan masyarakat itu sendiri perlu memainkan peranan masing – masing.

Dalam strategi ini perlu diselitkan kepada program self-reliance. Ini menunjukkan kebanyakan pada masa kini bantuan yang disalurkan adalah berorientasikan kepada bantuan berbentuk ekonomi dan bukan ekonomi. Dalam kata lain dengan maksud yang sama ianya menekankan pembangunan modal insan kerana dipandang serius oleh bekas perdana menteri, Tun Abdullah bin Hj. Ahmad Badawi untuk mewujudkan masyarakat yang berdaya maju serta bersaing. Selain itu, kemahiran – kemahiran membantu mereka keluar daripada belenggu peminggiran.

No comments: